MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Pahang

UMP C juara Kejohanan Sepak Takraw Piala Naib Cancelor

Pasukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) C muncul juara kategori institusi pengajian tinggi (IPT) sempena Kejohanan Sepak Takraw Piala Naib Cancelor yang berlangsung di Kompleks Sukan UMP, Gambang di sini baru-baru ini.

Pasukan UMP C merangkul gelaran tersebut selepas menewaskan pasukan Kolej Vokasional Kuantan (KVK) A sekali gus membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000, piala pusingan dan pingat.

KVK A selaku naib juara pula membawa pulang hadiah wang tunai RM750 dan medal manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing menjadi milik Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) B dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang B.

Bagi kategori terbuka pula, pasukan Ozoil A ditabalkan juara setelah menewaskan `4 Jerantut C' manakala tempat ketiga dan keempat disandang oleh pasukan Semantan B dan Ozoil B.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim. Yang turut hadir, Pemangku Pendaftar UMP, Abd. Rahman Safie dan Ketua Pusat Sukan UMP, Mohd. Aznorizamin Ismail.

Sementara itu, Pengarah program, Ahmad Azlan Abdul Mubin berkata, kejohanan itu merupakan sebahagian daripada program bagi memeriahkan Karnival Expokonvo UMP sempena majlis konvokesyen kesembilan yang bakal berlangsung pada 11 dan 12 Oktober ini.

"Program yang julung kali dianjurkan ini bertujuan untuk mempromosi sukan sepak takraw di samping mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

"Dua kategori dipertandingkan iaitu IPT dan terbuka dengan kategori IPT disertai 25 pasukan manakala kategori terbuka berjaya menarik penyertaan 28 pasukan," jelasnya.

Menurutnya, penganjuran kejohanan itu ternyata berjaya memupuk semangat kesukanan selain menjalinkan hubungan baik UMP dengan masyarakat luar serta menjenamakan universiti.

Sumber:Utusan malaysia