MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Pahang

Pahang serba lengkap

NWAKAEME dilaporkan semakin pulih daripada kecederaan dan bersedia diturunkan pada final Piala FA Sabtu ini.


PAHANG sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Felda United pada perlawanan akhir Piala FA 2014 di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini.

Khabar gembira hadir kerana mereka memiliki skuad serba lengkap ekoran semua pemainnya bebas daripada kecederaan.

Ia jelas menggembirakan jurulatih, Zainal Abidin Hassan kerana tiga tonggak utamanya, Mohd. Razman Roslan, Mohd. Saiful Nizam Miswan dan Azidan Sarudin akan kembali beraksi dalam perlawanan akhir itu nanti.

Masing-masing yang terlepas perlawanan separuh akhir kedua menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) Jumaat lalu ekoran menjalani penggantungan perlawanan.

Bekas pemain kebangsaan itu kini mempunyai pelbagai pilihan pemain untuk diturunkan dalam kesebelasan utama dengan merencana percaturan terbaik untuk membawa pulang piala tersebut ke bumi Pahang.

"Kesemua pemain berada dalam keadaan baik dan bersedia diturunkan pada final itu nanti.

"Alhamdulillah semua pemain kita sudah bersedia, tidak ada yang digantung lagi dan tiada lagi yang cedera, Dickson Nwakame juga semakin pulih.

"Buat masa ini saya masih belum menentukan siapa kesebelasan utama yang akan diturunkan pada perlawanan akhir itu nanti," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kuantan semalam.

Bagaimanapun, Zainal tidak mahu mendabik dada biarpun ramai pihak yang memilih Pahang sebagai pasukan pilihan yang akan menjuarai Piala FA.

Bagi Zainal, The Settlers wajar dihormati dan diberi perhatian penuh kerana pasukan bimbingan jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim itu telah mempamerkan permainan yang cukup baik selain dibarisi oleh beberapa pemain berpengalaman.

"Felda United pastinya akan memberikan saingan sengit pada perlawanan akhir itu nanti dan ia terbukti apabila mereka mampu beraksi cemerlang dan mengikat pasukan gergasi Pantai Timur, Kelantan pada saingan separuh akhir lalu.

"Biarpun berstatus kelab, kita tidak boleh pandang rendah keupayaan Felda United dan kita akan melakukan yang terbaik bagi memastikan kita juara Piala FA musim ini," katanya.

Sementara itu, mengenai pertukaran venue perlawanan akhir Piala FA dari Stadium Bukit Jalil ke Stadium Shah Alam, Zainal berkata, ia bukan persoalannya, apa yang penting ialah bagaimana prestasi sesebuah pasukan itu ketika beraksi kelak.

"Main di mana sekalipun kita tiada masalah, di Bukit Jalil pun kita pernah bermain begitu juga di Shah Alam, apa yang penting kita mahu ialah untuk melakukan yang terbaik untuk menjadi juara," katanya.

Beliau dalam pada itu berharap penyokong skuad Tok Gajah akan membanjiri Stadium Shah Alam bagi memberikan sokongan kepada pasukan berkenaan.


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Source Kosmo