MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Pahang

Pahang sasar 32 emas pada Sukma ke-14

KUANTAN - Kontinjen Pahang akan dibarisi 483 atlet bagi merealisasikan sasaran 32 pingat emas pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-14, Julai depan.

Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP) Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi berkata semua persiapan atlet untuk kejohanan itu dibuat dengan rapi bagi menyertai 24 acara yang dipertandingkan.

"Semua atlet akan didaftarkan sebelum penghujung Mei ini dimana mereka juga telah diberi pendedahan dalam pertandingan-pertandingan di peringkat kebangsaan.

"Kira-kira 45 peratus atlet berkenaan pernah terlibat dalam acara Sukma sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, meskipun had umur atlet yang akan menyertai Sukma ke-14 berbeza dengan sebelumnya daripada bawah 23 ke 21 tahun, ia tidak akan membantutkan persiapan Pahang selaku tuan rumah.

Setakat ini, katanya, atlet-atlet Tok Gajah yang dikenal pasti berkenaan juga telah menandatangani kontrak untuk mewakili Pahang dalam Sukma ke-14.

"Sebagai dorongan, atlet yang menyumbang pingat Pahang akan diberikan imbuhan sebanyak RM3,000 bagi kejayaan meraih pingat emas manakala pingat perak, RM2,000 dan gangsa, RM1,000," katanya.

Bagi acara berpasukan pula, sebanyak RM500 setiap seorang untuk pingat emas, RM300, dan RM100 untuk pingat perak dan gangsa.

Kejohanan Sukma akan berlangsung pada 7 hingga 16 Julai, sebanyak 24 acara akan dipertandingkan yang akan diadakan di tiga daerah - Kuantan, Pekan dan Temerloh.

Sumber : Sinar Harian