MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Pahang

Potong gaji, buang menteri kontroversi

Cadangan Datuk Ahmad Maslan supaya orang ramai melakukan dua kerja membayangkan realiti dihadapi rakyat di negara ini, kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Meskipun cadangan itu menghiris hati rakyat, tapi ia adalah satu pengakuan realiti semasa oleh seorang ahli parlimen Umno.
 
"Bagi PAS, sebelum mencadangkan langkah-langkah yang patut diambil oleh rakyat untuk mengatasi kemelut ekonomi, elok lah kerajaan dipimpin Umno memandang cermin terlebih dahulu dengan mengambil pelbagai tindakan segera untuk kurangkan kos sara hidup.
 
"Rakyat perlu dibebaskan daripada menampung kerajaan yang 'high maintenance' kerana sikap perbelanjaan pemimpinnya yang boros, membazir dan tidak ekonomi," katanya pada kenyataan media.
 
Sehubungan itu Tuan Ibrahim menyenaraikan beberapa cadangan yang boleh dilakukan kerajaan untuk mengatasi kemelut ekonomi dan antaranya dengan mengurangkan saiz kabinet.
 
"Menteri dan Timbalan Menteri yang sering memberikan cadangan kontroversi boleh dibuang agar pembelanjaan mengurus kerajaan dapat dikurangkan," kata Tuan Ibrahim.
 
Selain itu, beliau juga mencadangkan potongan gaji sebanyak 20 peratus bagi menteri dan timbalan menteri agar mereka memahami keperitan mencari pendapatan dengan melakukan 'dua kerja'.
 
Katanya, kerajaan perlu menyemak kembali peruntukan besar untuk Jabatan Perdana Menteri dengan mengurangkan kakitangan kontrak bergaji tinggi dan menyalurkan peruntukan itu ke sektor pendidikan.
 
"Jabatan Perdana Menteri juga harus menghentikan kewujudan agensi baru dan syarikat milik kerajaan yang baru dan misteri yang mempunyai fungsi bertindih dengan agensi kerajaan sedia-ada untuk disalurkan dana.
 
"Kerajaan juga perlu menamatkan jawatan duta khas bertaraf menteri kerana ini jawatan bertindih," katanya.
 
"Cadangan-cadangan ini tidak susah dilaksanakan. Yang diperlukan hanyalah keikhlasan, kesungguhan dan komitmen kepada ‘ciri-ciri tatakelola kerajaan yang baik’ atau good governance," katanya.
 
- malaysiakini