MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Pahang

Mahkamah tutup kes saman MB Pahang terhadap Utusan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menutup kes saman fitnah dikemukakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob terhadap Utusan Melayu (M) Bhd berhubung artikel bertajuk 'Hebat Sangatkah Adnan', dua tahun lepas.

Hakim Datuk Yeoh Wee Siam menutup kes itu selepas dimaklumkan oleh peguam Elly Azreen Khalid yang mewakili Utusan Melayu bahawa Mahkamah Rayuan telah membatalkan saman itu semalam.

Mahkamah Tinggi menutup kes itu kerana ia terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan, kata peguam itu kepada pemberita. Terdahulu kes itu dibentangkan untuk pengurusan kes di hadapan Yeoh di dalam kamar.
 
Dalam membuat keputusan penting itu semalam, Mahkamah Rayuan membenarkan Utusan Melayu membatalkan saman Adnan, memutuskan bahawa personaliti yang dikenali ramai dan memegang jawatan awam tidak boleh memfailkan saman fitnah terhadap media.
 
Dalam keputusan ringkas, panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Rohana Yusuf berkata mahkamah berpendapat artikel berkenaan, sama ada dari segi konteksnya dan secara menyeluruh, merujuk kepada Adnan berdasarkan kedudukannya sebagai Menteri Besar, bukan sebagai individu secara peribadi.
 
Menurut beliau, saman fitnah dikemukakan Adnan terhadap akhbar bahasa Malaysia itu perlu diketepikan berdasarkan prinsip undang-undang Inggeris, Derbyshire County Council lwn Times Newspapers Ltd dan lain-lain, yang menyebut bahawa pihak berkuasa tempatan tidak boleh mengambil tindakan saman berkaitan fitnah.
 
Pada 2014, Adnan menyaman Utusan Melayu berhubung penerbitan satu artikel dalam akhbar Mingguan Malaysia bertajuk 'Hebat Sangatkah Adnan' pada 9 Nov, 2014.
 
Utusan Melayu pada awalnya gagal dalam cubaannya untuk mengetepikan saman sivil itu di Mahkamah Tinggi pada 23 Julai 2015 dan merayu terhadap keputusan itu.
 
-Bernama