MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Pahang

Laporan Audit : 7 tahun siapkan pusat latihan polis

Pembinaan sebuah kompleks pusat latihan polis di Pelangai, Pahang yang sepatutnya boleh disiapkan dalam tempoh 90 minggu didapati berlarutan sehingga tujuh tahun.

Justeru Laporan Ketua Audit Negara 2015 (Siri 2) menegur Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan perunding projek itu kerana pemantauan lemah pada pembinaan berkenaan.

Akibat kelewatan itu juga kos pembinaan pusat latihan itu melonjak kepada RM12.88 juta termasuk RM5.10 juta adalah akibat proses tender semula.

"Bagi mengatasi kelemahan yang dikenal pasti dan mengelakkan ia lagi adalah disyorkan bahawa KDN dan JKR mengakui (masalah) dalam projek ini sebagai pengajaran," laporan itu dipetik.

Menurut laporan sama, projek itu dibangunkan untuk dijadikan Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am dan kompleks pertama daripada lapan institusi latihan yang akan dibina di atas tapak seluas 1,300 ekar.

KDN adalah pelanggan projek itu manakala JKR bertindak sebagai agensi pelaksana.

Kontrak untuk mereka bentuk dan membina pusat latihan berkenaan bernilai RM138.40 juta diberikan melalui rundingan terus kepada Malgran Resources Sdn Bhd (MRSB).

Syarikat itu mengambil alih tapak projek pada 28 Mei 2009 dan sepatutnya siap selewat-lewatnya 30 Jun 2012.

Antara komponen yang akan dibina pada fasa itu ialah kompleks kuliah, kafeteria, bengkel dan stor peluru.

Selepas diberikan lanjuta dua kali - berjumlah 500 hari - 11 surat amaran dan empat notis untuk menamatkan kontrak, perkhidmatan MRSB akhirnya dihentikan pada 21 November 2013.

Projek itu siap 95 peratus ketika itu tetapi kontraktor terbabit dianggap tidak bersungguh-sungguh untuk menyiapkan tugasan berkenaan.

Daripada RM138.40 juta kontrak keseluruhan RM113.15 juta atau 81.75 peratus daripadanya sudah dikeluarkan.

"Pada pandangan jabatan audit, terlalu banyak peluang diberikan kepada kontraktor sehingga menyebabkan kelewatan berpanjangan," kata laporan itu.

- malaysiakini