MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Pahang

Pelancong kecewa pantai berminyak

Keterujaan pelancong melakukan aktiviti mandi dan snorkeling di Pusat Taman Laut di sini, terbantut apabila mereka dikotori dengan kesan minyak yang terdapat di pantai kawasan itu.

Pelancong yang terlibat kecewa dengan kejadian yang disifatkan tidak sepatutnya berlaku di pulau peranginan antara yang terkenal di dunia itu.

Aktivis Reef Check Malaysia, Alvin Chelliah, berkata, kejadian itu berlaku pada petang Ahad lalu apabila dia dimaklumkan oleh pemandu pelancong yang membawa pelancong untuk melakukan aktiviti di situ.

Menurutnya, kesan minyak itu kemungkinan dihanyutkan dan terdampar di bahagian pantai yang cetek sehingga mengotori pelancong ketika mereka berjalan untuk masuk lebih jauh ke dalam air.

“Pemandu pelancong yang menerima rungutan daripada pelancong yang terkena kesan minyak itu membuat aduan kepada saya berserta gambar dan saya sendiri telah memanjangkan aduan itu kepada Jabatan Taman Laut Malaysia Pahang.

“Rungutan pelancong itu ada asas kerana mereka mendakwa kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku di pulau peranginan seperti Pulau Tioman,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pencemaran minyak Pusat Taman Laut itu baharu pertama kali dilaporkan kerana sebelum ini pencemaran minyak berlaku di pulau kecil di perairan Pulau Tioman iaitu di Pulau Tulai pada Mac lalu.

Selain itu, pencemaran ketulan minyak atau lebih dikenali sebagai bebola tar di Pulau Tioman juga direkodkan berlaku pada Februari lalu yang menjejaskan pantai di beberapa kampung seperti Kampung Genting, Kampung Juara, Kampung Salang dan Kampung Mukut.

“Setakat ini, selain kejadian pencemaran di Pusat Taman Laut, saya turut mendapat maklumat pencemaran sama turut mencemari pantai Kampung Mukut dan difahamkan Jabatan Taman Laut Malaysia Pahang telah ke sana untuk melakukan siasatan,” katanya.

Sementara itu, Adun Tioman, Datuk Mohd Johari Hussain yang dihubungi turut kecewa dengan kejadian pencemaran yang berlaku disebabkan sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu.

Menurutnya, bagi mengatasi masalah itu daripada terus berlaku, kerjasama semua pihak khususnya jabatan terlibat dan kesedaran penduduk serta pelaut perlu ada untuk menjaga sumber alam semula jadi.

“Saya selaku Adun Tioman memang kecewa dengan kejadian pencemaran yang berlaku dan jika mengikut rekod, ini kali ketiga pada tahun ini pantai Pulau Tioman dicemari sisa minyak yang ditumpahkan pihak tertentu.

“Mereka ini tidak memikirkan kesan pencemaran yang begitu besar kepada pulau peranginan itu yang boleh menjejaskan imej, sumber alam dan sumber ekonomi penduduk yang bergantung dengan kedatangan pelancong tempatan serta luar negara,” katanya.

Beliau turut memohon pihak berkuasa terlibat supaya melakukan pemantauan secara agresif dan lebih kerap supaya kegiatan membuang atau menumpahkan minyak ke laut ini dapat diatasi sekali gus memelihara pulau daripada tercemar.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk, NGO dan agensi kerajaan terlibat yang prihatin serta bekerjasama membersihkan kawasan tercemar sebelum ini namun usaha itu tidak bermakna jika pencemaran pantai masih berulang.

“Kerajaan negeri maklum mengenai masalah ini dan telah membawa isu ke pihak atasan untuk tindakan,” katanya.

 

Sumber:Sinar harian