MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Pahang

Kerana pendakap gigi lelaki didenda RM40,000

Gara-gara menawarkan perkhidmatan memasang pendakap gigi tanpa kelulusan, seorang lelaki didenda RM40,000 selepas mengaku bersalah atas kesalahan itu di Mahkamah Sesyen Kuantan.

Mohd Irwan Mohd Sudi, 25, dituduh melakukan perbuatan itu pada 19 November tahun lepas, pada pukul 11.10 malam, di sebuah premis di Perkampungan Indera Sempurna, Taman Indera Sempurna Kuantan.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didapati menyediakan sebuah klinik pergigian swasta yang digunakan bagi menjalankan amalan pergigian dengan cara memberikan rawatan pemasangan pendakap gigi kepada seorang lelaki tanpa pendaftaran yang sah.

Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 27, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) kerana melanggar peruntukan Subseksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan seseorang boleh didenda sehingga RM300,000 atau dipenjarakan sehingga enam tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh sebelum itu mengaku menjalankan perkhidmatan itu walaupun tidak mempunyai sebarang kelayakan dalam bidang perubatan pergigian dan hanya mempelajari cara memakaikan pendakap gigi kepada pelanggannya menerusi saluran YouTube.

Mohd Irwan kemudiannya merayu kepada mahkamah agar meringankan hukumannya kerana terpaksa menanggung kedua orang tuanya.

Selain itu, Mohd Irwan turut memaklumkan mahkamah bahawa dia dalam perancangan untuk berhenti daripada menjalankan kegiatan itu pada bulan Disember tahun lepas, namun telah ditahan sebelum sempat berbuat demikian.

Hakim Siti Aminah Ghazali kemudian menetapkan tertuduh membayar denda sebanyak RM40,000 dan tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Kesihatan, Nur Khairiyah Samsudin, manakala tertuduh tidak diwakili oleh peguam.

Selepas selesai prosiding, tertuduh yang memakai jaket berwarna hitam menunggu lebih sejam di kamar mahkamah sebelum berlari keluar untuk mengelak wajahnya dirakam oleh jurugambar yang menantinya.

- Bernama