MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Pahang

Dr Mahathir : Bersatu jadi parti Melayu untuk raih sokongan penduduk luar bandar

Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi parti berasaskan kaum Melayu bagi menarik sokongan majoriti rakyat Malaysia di kawasan luar bandar dan pinggir bandar yang selesa dengan perkauman jenis Umno.

Sehubungan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, untuk bersaing dengan parti keramat Melayu itu, Bersatu perlu menjadi seperti Umno supaya orang ramai selesa dengannya.
 
“Orang bandar yang canggih dan berpendidikan tinggi percaya politik perkauman tidak sesuai untuk masa ini. Tetapi di kawasan lain ia adalah berbeza.
 
“Bagi penduduk luar bandar yang kebanyakannya miskin, bangsa bukan sahaja penting tetapi mereka percaya ia adalah perlu untuk kesejahteraan mereka. Umno popular kerana ia adalah parti perkauman,” katanya dalam catatan terbaru di blognya hari ini.
 
Bagaimanapun, pengasas Bersatu itu berkata, parti baharu itu bukan sahaja untuk orang Melayu, tetapi terbuka kepada semua Bumiputera dan ia juga sedia menerima golongan bukan Bumiputera sebagai ahli bersekutu.
 
Bekas perdana menteri itu berkata, parti baharu yang sama seperti Umno perlu ditubuhkan, kerana mereka gagal membawa perubahan, iaitu menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden Umno melalui undi tidak percaya dan memulihkan parti itu dengan bekerja dari dalam dan pada Umno.
 
Katanya, mereka mendapati Najib mempunyai penguasaan sepenuhnya ke atas Umno dan boleh memecat mana-mana ahli yang mengkritiknya.
 
Beliau berkata, Najib dikelilingi orang “jinak” yang seolah-olah “patuh” kepadanya sekalipun “salah lakunya” dan ia menjadi semakin jelas tiada cara untuk menyingkirkan beliau dari dalam Umno.
 
Jadi, katanya, pembentukan parti baharu adalah “perlu sama sekali”.
 
“Hanya sebuah parti baharu boleh mengembalikan kegemilangan negara suatu ketika dahulu. Parti baharu akan memberi perhatian terhadap perubahan dalam pemikiran semua rakyat Malaysia. Kami sudah mencapai kemajuan.
 
Rakyat semakin berpendidikan dan lebih baik dalam banyak perkara. Persepsi dan aspirasi mereka sudah berubah,” katanya.
 
Bersatu masih menunggu kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS), selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan permohonan untuk mendaftarkan parti baharu itu di Putrajaya pada 9 Ogos lalu.
 
Rabu minggu lalu, Pemuda DAP menolak kerjasama dengan parti politik berlandaskan kaum seperti parti baharu Bersatu kerana ia tidak berbeza daripada Umno.
 
Jurucakapnya, Chiong Yoke Kong dilaporkan berkata, parti politik yang mengamalkan diskriminasi kaum tidak akan menyelamatkan Malaysia sebaliknya hanya akan terus bermaharajalela di negara ini.

- freemalaysiatoday