MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Pahang

Bekalan cukup sehingga lepas raya

Bekalan ayam sepanjang musim perayaan ini adalah mencukupi walaupun  terdapat permintaan yang semakin meningkat daripada kalangan peniaga dan pengguna di seluruh Pahang.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang, Alwi Abdul Hamid berkata, pada kebiasaannya bekalan ayam yang diperlukan bagi memenuhi permintaan pasaran di seluruh negeri adalah sebanyak 95,000 ekor sehari.

Bagaimana pun, sepanjang bulan Ramadan ini, jumlah itu telah meningkat kepada120,000 ekor sehari.

"Namun setakat ini kami masih belum menerima sebarang laporan berhubung kekurangan bekalan ayam di pasaran.

"Kadar harga yang dijual di kebanyakan pasar terutamanya di sekitar daerah Kuantan pula adalah pada paras RM7.90 sekilogram iaitu bersamaan dengan paras harga siling yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada  sidang akhbar selepas Operasi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan di Pasar Besar Kuantan, hari ini.

Sebanyak 108 premis diperiksa dalam operasi berkenaan yang disertai 50 orang pegawai KPDNKK dan lima pegawai Metrologi Corporation Malaysia (MCM).

Alwi berkata,  kebanyakan peniaga didapati patuh dengan arahan kerajaan dengan menawarkan barangan jualan di bawah paras harga siling yang ditetapkan selain menepati arahan penandaan tanda harga.

Katanya, hanya satu kes dikesan  dalam operasi kali ini membabitkan  premis yang menggunakan alat penimbang yang tidak mendapat kelulusan MCM.
 

 

Sumber:Sinar harian